BETONG: Sejumlah 500 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada masyarakat setempat dalam satu program anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bahagian Betong.
Menurut Pegawai RISDA bahagian Betong, Mohamad Zainal Lihim, program itu merupakan program khidmat masyarakat selain salah satu ibadat bersedekah oleh pegawai dan kakitangan RISDA bahagian Betong sempena Ramadan al Mubarak.
Katanya, program ini juga bertujuan menyemarak lagi suasana sambutan bulan Ramadan dalam kalangan penduduk muslim pada masa sekarang.
“Pihak kami mengagihkan kira-kira 500 bekas bubur lambuk kepada setiap pengunjung yang melalui jalan di Pejabat RISDA Betong dekat bandar baharu Medan bermula pada jam 3.30 petang.
“Pihak kita mengucapkan terima kasih kepada Pengarah RISDA Negeri Sarawak Noor Azan Mohd Noor kerana sudi hadir dan mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat di Betong ini,” katanya.