SARIKEI: Seramai 50 anak yatim diraikan dalam majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Anak Yatim anjuran Perkim di Pusat Inovasi Sarikei (SIC) di sini, hari ini.
Pengerusi Perkim Sarikei, Dainah Hassan berkata, program merupakan salah satu tanggungjawab sosial pertubuhan itu kepada golongan kurang bernasib baik.
Melalui penganjuran program itu katanya, Perkim berpeluang mendekati golongan istimewa seterusnya menyumbangkan sesuatu yang bermakna untuk menceriakan mereka.
“Kita menyasarkan anak yatim pada sambutan Aidilfitri tahun ini bagi membolehkan mereka merasai kemeriahan Aidilfitri. Kesemua mereka dipilih dari beberapa buah sekolah sekitar Sarikei antaranya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sarikei, SK Abang Haji Matahir, SK Agama (MIS) Sarikei dan SK Udin,” katanya.
Majlis perasmian program disempurnakan Ahli Parlimen P 206 Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab.
Dalam pada itu, beliau turut menyumbangkan RM5,000 bagi membantu Perkim melaksanakan aktivitinya selain menghulurkan sumbangan peribadi kepada anak yatim yang hadir.