SEPTEMBER 2018

Dana RM129,000 untuk 54 sekolah


BETONG: Sebanyak 54 sekolah di Daerah Betong mendapat suntikan dana keseluruhan berjumlah RM129,000 hasil sumbangan Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) menerusi anak syarikatnya STA Mutual Sdn Bhd (STAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

Tujuh sekolah menengah masing-masing menerima RM5,000 daripada sumbangan tersebut, manakala RM2,000 untuk setiap 47 sekolah rendah.

Ia disampaikan oleh Penolong Pengurus Besar (Perancangan Sumber) PUSAKA Hamzah Morshidi mewakili Pengurus Besar PUSAKA Hashim Bojet dalam satu Majlis Penyampaian Sumbangan Kewangan STAM dan PUSAKA untuk Sekolah-sekolah di Daerah Betong di sini, hari ini.

Hashim dalam teks ucapannya memberitahu, sumbangan tersebut bertujuan membantu dan menampung keperluan sekolah yang menerima kesan daripada aktiviti atau operasi pembalakan.

Selain itu, bagi menyediakan persekitaran (sekolah) yang kondusif bagi aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP).

“Dengan adanya sumbangan ini juga dapat memberikan semangat kepada anak-anak di sekolah untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan menerusi penambahbaikan keperluan asas pembelajaran.

“Justeru, STAM dan PUSAKA amat mengharapkan ia dapat membantu meningkatkan pelbagai program dan aktiviti akademik mahupun ko-kurikulum di sekolah,” katanya.

Menurutnya lagi, sebanyak RM1.2 juta sumbangan dana berjaya disalurkan oleh STAM dan PUSAKA kepada sekolah-sekolah di negeri ini sejak 2012 sehingga kini bermula dari Bahagian Mukah, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas, Betong, Sibu dan Sarikei.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Betong Supian Ekeram menyifatkan program CSR yang dilakukan oleh pihak STAM dan PUSAKA memberi sesuatu yang baik kepada pembangunan pendidikan di daerah ini.

Jelasnya, keprihatinan agensi-agensi untuk menghulurkan bantuan patut menjadi semangat kepada sektor pendidikan bahawa masih ada pihak yang peka melihat keperluan pendidikan di sini.

Beliau meminta para pengetua dan guru besar untuk memanfaatkan bantuan ini dengan memberi keutamaan kepada apa yang benar-benar diperlukan terlebih dahulu.