DEBAK: Rumpun Silat Sarawak (RSS) Cawangan Saribas mengusulkan cadangan penubuhan Pusat Silat Olahraga Saribas di Debak bagi melahirkan pelapis silat untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengerusinya Abg Mohd Tawfik Abg Bujang berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam yang dibentangkan dengan usul tersebut dilihat ‘berminat’.
“Setelah diusulkan, Razi memberi ‘lampu hijau’ cuma perlu dimurnikan lagi tentang bajet yang diperlukan.
“Saya pasti beliau selaku penaung mempunyai hasrat yang sama dan ini satu perkembangan yang baik.
“RSS Cawangan Saribas mengharapkan ia berjaya direalisasikan suatu hari kelak dengan komitmen wakil rakyat,” katanya selepas Mesyuarat Agung RSS Cawangan Saribas Sesi 2018-2020 di Debak, baru-baru ini.
Jelas Tawfik, penubuhan Pusat Silat Olahraga Saribas di Debak disifatkan sebagai satu wadah penting untuk membangunkan potensi anak muda dalam warisan budaya bangsa seperti silat.
“Hal ini kerana, Debak sesuai sebagai pusat latihan dan pemilihan kerana kedudukannya yang berada di tengah-tengah antara Sri Aman dan Kabong.
“Lebih-lebih lagi perguruan-perguruan silat dari wilayah Sri Aman, cawangan Saratok dan Lubok Antu turut menyatakan sokongan untuk penubuhan pusat tersebut,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dengan adanya pusat ini kelak dapat melahirkan pelapis silat untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi serta menyemai dan mengukuhkan lagi rasa cinta golongan belia terhadap warisan budaya bangsa itu.
“Selain memberi peluang kepada pesilat untuk menonjolkan diri dan mengembangkan bakat kerana melaluinya kita mampu melatih dan memberi pendedahan kepada pesilat agar mempunyai teknik yang betul serta ketahanan mental dan fizikal yang mantap sebelum menyertai kejohanan yang dianjurkan.
“Dalam bentuk tersirat, kita berhasrat melahirkan anak muda yang berkualiti dari segi kepimpinan, sahsiah bertanggungjawab, berdisiplin serta mampu membuat keputusan dengan bijak,” jelasnya.
Pada mesyuarat itu menyaksikan jawatan tertinggi rumpun silat itu dikekalkan tanpa sebarang pertandingan apabila Razi sekali lagi dipilih sebagai penaung dan penasihatnya disandang oleh Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi.
Tawfik yang akan terus mengemudi RSS Cawangan Saribas sehingga 2020 turut dibantu setiausaha Abang Busri Abang Morni dan bendahari Mohd Hafizal Abd Hamid.
Sekitar 150 orang ahli yang aktif terdiri daripada lima perguruan dalam RSS Cawangan Saribas antaranya Hailam Rimbas, Sengat Saribas, Gamelan Laut, Pukulan 12 dan Hailam Balu.