KUCHING, 20 Oktober 2026 - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menerima kunjungan hormat Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir, di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Selasa.
Kunjungan hormat itu antara lain bagi penyerahan surat pengiktirafan status universiti penuh kepada Kolej Universiti i-CATS, sekali gus menandakan perkembangan penting dalam usaha Sarawak memperkukuh landskap pendidikan tinggi.
Zambry ketika ditemui berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menyokong usaha kerajaan Sarawak menubuhkan dan membangunkan institusi pendidikan tinggi bagi meningkatkan pembangunan modal insan selaras dengan visi dan misi pembangunan Sarawak.
“Dengan wujudnya universiti ini yang berfungsi sebagai universiti penuh, kita mengharapkan ia akan melebarkan lagi program-program yang dianjurkan dan Kementerian Pendidikan Tinggi akan memberi dukungan kepada program-program tersebut,” katanya.
Beliau berkata, KPT juga akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi menyelaraskan pembangunan program pengajian yang memenuhi keperluan Sarawak, khususnya dalam bidang teknologi tinggi, dengan penglibatan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan perancangan akademik universiti memenuhi keperluan ditetapkan.
Menurutnya, pembangunan program berasaskan keperluan industri penting bagi memastikan institusi pendidikan tinggi dapat melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran dan kepakaran bersesuaian dengan keperluan pembangunan ekonomi Sarawak.
Zambry turut dimaklumkan mengenai perancangan pembinaan kampus baharu universiti berkenaan, yang dijangka menyokong peluasan program akademik serta memperkukuh peranannya dalam ekosistem pendidikan tinggi Sarawak.
Pengiktirafan itu dijangka membuka ruang kepada Kolej Universiti i-CATS untuk memperluas penawaran pengajian dan memperkukuh pembangunan bakat tempatan, khususnya dalam bidang yang menyokong aspirasi Sarawak membangunkan ekonomi berasaskan teknologi dan industri bernilai tinggi.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Haji Adana bin Haji Jed; Pro-Canselor dan Pengerusi Kolej Universiti i-CATS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Haji Abdul Aziz bin Dato Haji Husain; Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS, Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi dan Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi bin Mohidin.