Perjuangan untuk meningkatkan kehidupan dan membela nasib kaum Bumiputera dalam pelbagai bidang, termasuk politik, ekonomi, dan sosial.
Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ke-6 pada 13 Januari 2017 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Astana, Sarawak bagi menggantikan Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Datuk Amar Hj Adenan bin Hj Satem yang meninggal dunia pada 11 Januari 2017.
Dilahirkan pada 4 Ogos 1950 di Limbang, Sarawak, beliau merupakan anak bongsu kepada Allahyarham Tun Abang Haji Openg bin Abang Sapiee yang merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak Pertama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada British dan selepas pembentukan Malaysia pada 1963.
Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Sekolah Rendah Merpati Jepang dan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Joseph di Kuching dan kemudian melanjutkan pelajaran dan mendapat Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Henley College, Universiti Brunnel, United Kingdom.
Merupakan seorang ahli politik veteran, beliau berkecimpung dalam politik lebih daripada 30 tahun. Beliau mula aktif dalam arena politik Sarawak pada tahun 1977 dan menyandang posisi Timbalan Ketua Pemuda parti pada 1981 di mana beliau menang bertanding pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok pada 1981 dan menyandang kerusi itu sehingga sekarang.
Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan N8 Satok selama sembilan penggal: 1981, 1983, 1987, 1991, 1996, 2001, 2006, 2011 and 2016.
Pada tahun 1982, beliau dilantik menjadi Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak ke-4 Tan Sri (sekarang Tun) Abdul Taib Mahmud, yang kini Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Beliau dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak (DA) yang membawa gelaran “Datuk Amar” pada tahun 2008, Johan Bintang Sarawak (JBS) pada tahun 1985, Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) pada tahun 1990, Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB Perak) pada tahun 1988 and Pingat Jubli Emas pada tahun 2013.
Beliau telah menyandang banyak jawatan-jawatan penting. Antaranya ialah:
• 1981 – ADUN N8 Satok (1981 – Kini)
• 1982 – Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak
• 1983 – Menteri Muda Kemajuan Wilayah dan Pembangunan Masyarakat
• 1987 – Menteri Pembangunan Perindustrian
• 2000 – Menteri Pelancongan
• 2004 – Menteri Perumahan
• 2009 – Menteri Perumahan dan Urbanisasi
• 2011 – Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan
• 2016 – Timbalan Ketua Menteri, Menteri Perumahan dan Urbanisasi, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan
• 2017 – Ketua Menteri Sarawak (2017 – Kini)
Selain itu, beliau juga aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) dengan menjadi Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) semenjak tahun 2009 sehingga kini.
Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkahwin dengan Datin Patinggi Dato Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang dan dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Perlantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-6 yang juga Timbalan Ketua Menteri sebelum ini dipilih sebulat suara menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) untuk menyokong beliau menyandang jawatan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Sarawak dan Pengerusi Barisan Nasional sehingga tahun 2018. Parti-parti tempatan Sarawak yang sebelum ini bernaung di bawah Barisan Nasional telah mengambil keputusan keluar dari gabungan Barisan Nasional selepas PRU ke-14. Pada 12 Jun 2018, parti PBB, SUPP, PRS dan PDP sepakat menubuhkan satu gabungan baharu dengan nama ‘Gabungan Parti Sarawak (GPS)’ dan sebulat suara memilih YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg sebagai Pengerusi kepada gabungan tersebut.