OKTOBER 2019

109 Unit Rumah PPRMS 2018 DUN Tanjong Datu Berjaya Disiapkan


LUNDU: Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) 2018 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu telah siap sepenuhnya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Hajah Jamilah Hj Anu sebanyak 109 unit rumah telah dibaik pulih dengan kos sebanyak RM1 juta.

“Sebanyak 109 unit rumah PPRMS DUN Tanjong Datu telah disiapkan meliputi 3 Zon di Tanjong Datu iaitu Zon Sampadi, Lundu dan Sematan.

“Manakala, untuk tahun 2019, sebanyak 105 buah rumah akan dibaik pulih dan dijangka siap sebelum penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan MRP-PPRMS DUN Tanjong Datu Fasa 1/2019 di Rumah Rehat Lundu, pada Selasa.

Datuk Amar Hajah Jamilah turut memberitahu PPRMS ini merupakan inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan.

“PPRMS yang diperkenalkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak telah banyak membantu rakyat yang tidak berkemampuan untuk memiliki rumah yang selesa dan selamat didiami,” ujarnya.

Sumber dari: Unit Komunikasi Awam Sarawak