JANUARI 2020

3 Tahun Lagi, Perjalanan Simunjan Ke Kuching Akan Disingkatkan Kepada 40 Minit!


SIMUNJAN : Perjalanan dari Simunjan ke Kuching akan disingkatkan kepada 40 minit selepas kerajaan Sarawak bersetuju untuk membina jambatan Gedong.

Mendedahkan perkara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Openg ketika berucap di Majlis Rindok Digital di sini dan menambah perkara itu akan direalisasikan dalam tempoh 3 tahun akan datang.

“Inshaa Allah, tak lama lagi kita akan bangunkan jambatan Gedong, Gedong dengan Simunjan dekat dengan jalan baru. Tadi saya guna jalan pusing, selepas ini tidak ada pusing lagi.

“Kalau siap dalam masa 3 tahun lagi, Simunjan-Gedong-Kuching 40 minit datang Kuching. Dalam masa 3 tahun kerana duit dah ada diberi dengan JKR (Jabatan Kerja Raya). Bermakna Simunjan dan Kuching tidak ada masalah lagi pada jaraknya.” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri berangkat ke Simunjan menggunakan laluan darat dan memberitahu perjalanannya dari kediaman ke Simunjan mengambil masa 1 jam 45 minit.

Ketika ditemui media selepas majlis berkenaan, Abang Zohari berkata projek itu akan dilaksanakan pada tahun ini namun belum mendedahkan kos projek itu.

Sementara itu, Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong Datuk Haji Naroden Majais berkata laluan baharu ini tidak akan melalui Serian.

“Laluan asal ialah, Simunjan-Gedong-Serian-Kuching tapi apabila siapnya jambatan itu, pengguna jalan raya tidak perlu melalui Serian dan ia akan menjimatkan masa.” ujarnya.

Sumber dari : TV Sarawak