JANUARI 2020

RM200 Juta Diperuntukan Bagi Mendalamkan Sungai Sebiew Dan Sungai Sebatang Bagi Menangani Masalah Banjir Di Bintulu


BINTULU: Masalah banjir yang kerap berlaku di Bintulu telah mendapat perhatian dan tindakan daripada Kerajaan Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, sejumlah RM200 juta akan diperuntukan bagi mendalamkan dua sungai Iaiti Sebiew dan Sungai Sebatang yang menjadi punca kepada kejadian banjir di Bintulu.

“Pertama, kita akan mendalamkan Sungai Sebiew dan juga Sungai Sebatang.

“Kita akan dalamkan. Yang ini akan menelan belanja sebanyak RM200 juta dan akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke 12, dalam masa 5 tahun.

“Ini bermakna, kita akan memberi peruntukan sebanyak RM50 juta untuk satu tahun untuk mendalamkan Sungai Sebiew dan Sungai Sebatang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kampung Assyakirin Fasa 1 & Kampung Kemunting, Bintulu pada Khamis.

Sementara itu, dalam perkara yang sama Datuk Patinggi Abang Jo menambah selain mendalamkan dua sungai itu, Kerajaan Sarawak juga akan memperbaiki sistem perparitan di beberapa kawasan yang berisiko banjir dengan kos sebanyak RM50 juta.

“Di samping itu, kita akan memperbaiki tempat-tempat yang selalu banjir.

“Lebih kurang 8 projek Lapan Projek membabitkan kawasan di Jalan Sibiyu, Nyabau Height, Sungai Sepegang Bintulu, pembinaan kolam penahanan air di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, termasuk Kampung Assyakirin dan Kampung Kemunting.

“Ini akan kita baiki semula sistemnya dan ini akan menelan belanja RM50 juta untuk semua projek,” tambahnya.

Untuk memastikan projek ini berjalan lancar, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dan dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Sri Abu Bakar bin Marzuki dengan dianggotai Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Unit Perancang Ekonomi Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak.

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak