KUCHING: Sejumlah 380,887 penerima bantuan makanan di kawasan luar bandar dan pedalaman sudah menerima bantuan itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bantuan makanan Sarawakku Sayang itu memperuntukkan sejumlah RM16.4 juta bagi membantu golongan kurang berkemampuan di semua kawasan 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa mengira kaum, agama dan politik.
Katanya, meskipun banyak cabaran, namun Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan berjaya mencapai objektifnya untuk membantu golongan sasar yang amat memerlukan bantuan makanan selama PKP sejak dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Menurutnya, setiapa kawasan DUN diperuntukkan sejumlah RM200,000 dan ada beberapa kawasan sudah menyelesaikan urusan penghantaran lebih awal sementara kawasan pedalaman lain diagih secara berperingkat-peringkat kerana masalah logistik.
Bagaimanapun, kata Awang Tengah semua pengagihan makanan itu sudah selesai pada 25 April lalu.
“Sehingga kini, semua penerima sudah menerima bantuan makanan masing-masing,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Awang Tengah yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata, selaim bantuan kerajaan, bantuan itu turut disumbangkan oleh sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.
Beliau menjelaskan, hasil tinjauan terhadap 11,658 penerima program bantuan ini yang berakhir 25 April lalu, rata-rata mereka melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan Sarawak atas bantuan itu.
“Mereka juga menyatakan gembira dengan bantuan itu yang tiba tepat pada waktunya dan barangan keperluan yang disediakan sesuai untuk tempoh PKP,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa atau mana-mana pihak yang tercicir dari senarai penerima ini, boleh menghubungi pejabat bahagian Kebajikan Sarawak atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah masing-masing untuk tindakan segera.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Pusat Khidmat ADUN, Ahli Parlimen, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Hornbill Skyways yang turut sama menyediakan perkhidmatan darat dan helikopter terutama ke kawasan terpencil seperti Telang Usan, Murum, Mulu, Batang Ai, Meluan, Pakan, Engkilili dan Balairingin.
“Terima kasih juga kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus- lumus berjuang mengekang penularan Covid-19,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti