SEPTEMBER 2019

81 Pemilik Tanah Di Pakan Terima Pampasan RM1.6 Juta


SARIKEI: Sebanyak RM1.6 juta diagihkan kepada seramai 81 orang pemilik tanah berdaftar dan NCR yang terlibat dalam projek pembinaan dan naik taraf jalan di Pakan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 73 cek pampasan yang berjumlah RM 563,567.03 diserahkan kepada 48 pemilik tanah yang terlibat dalam Projek Pembinaan Jalan Rumah Wilfred Uli, Rumah Panggai, Ulu Dayat, Pakan.

Manakala sebanyak 41 cek pampasan yang berjumlah lebih kurang RM1,091,858.20 pula, akan diserahkan kepada 33 orang kepada pemilik tanah yang terlibat dalam Projek naik taraf Jalan Pakan (Seksyen 2).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, agihan itu membuktikan bahawa setiap pengambilan balik tanah yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak akan dibayar pampasan.

“Projek menaik taraf Jalan Pakan dilaksanakan bagi meluruskan jajaran jalan yang sebelum ini bengkang bengkok dan mengundang gejala bahaya kepada pengguna.

“Manakala Projek Pembinaan Jalan Rumah Wilfred Uli, Rumah Panggai, Ulu Dayat, Pakan, Sarikei dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada penduduk dari segi penjimatan kos dan memendekkan masa perjalanan ke Sarikei.

Sebelum ini, penduduk di kawasan terbabit perlu melalui Pakan untuk ke Sarikei dengan jaraknya dianggarkan 70 kilometer (km). Setelah siap projek pembinaan jalan ini, penduduk disekitar dapat pergi terus ke Sarikei dengan jarak hanya 10 km,” katanya pada majlis penyerahan cek pampasan tanah bagi kedua-dua projek itu di Dewan Masyarakat Pakan, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II berkata, pembinaan jalan itu bakal membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitarnya.

Katanya, ia sekaligus membolehkan penduduk tempatan mendapat manfaat daripada pembangunan yang dibawa Kerajaan Sarawak semasa dan selepas jalan berkenaan dibina.

Malah ujarnya, kemudahan prasarana itu bakal menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di Pakan.

“Saya yakin dengan usaha ini nanti akan mewujudkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan seterusnya memberi impak positif kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau menegaskan, pembayaran pampasan tanah membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak tidak merampas tanah seperti didakwa oleh pihak tertentu.

Jelasnya, kerajaan membayar pampasan secara adil dan munasabah kepada pemilik tanah apabila pengambilannya dilakukan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Hadir sama, ADUN N.47 Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, Penguasa Tanah dan Survei Sarikei, Ngu Tai Kong, Timbalan Residen, Abang Porkan Abang Budiman, Penolong Pengarah Penilaian Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Norlina Raee, Pegawai Daerah Pakan, Saroji Ludin dan pemimpin masyarakat.

Sumber dari: Suara Sarawak