PULAU BRUIT: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Abang Haji Openg pagi tadi melancarkan pembinaan Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 KM yang menghubungkan Pulau Bruit dengan tanah besar Sarawak.
Pembinaan jambatan berongkos RM299 juta merentasi Batang Paloh itu akan memudahkan perjalanan ke tempat seperti Daro dan Tanjong Manis dan bandar-bandar lain umumnya apabila siap kelak pada Mei 2023.
Kerja-kerja pembinaan sudahpun bermula pada tahun lepas dan dalam ucapan perasmian beliau Datuk Patinggi Abang Jo menyatakan ini membuktikan beliau dan Kerajaan GPS tidak bercakap kosong.
Beliau yakin jambatan tersebut akan membuka kawasan Paloh dan Pulau Bruit dan kawasan-kawasan berdekatan di delta Batang Rajang yang mempunyai tanah aluvial yang subur.
Dengan adanya jambatan tersebut bekalan air bersih dari grid air boleh disalurkan melalui paip sebesar sehingga 500 mm yang lebih selamat berbanding paip yang diletakkan di dasar sungai, ujar beliau.
Pada sidang media selepas acara perasmian beliau menyatakan kepada para pemberita pembangunan kawasan tersebut yang berhampiran dengan pelabuhan Tanjong Manis akan merangkumi sebuah kemudahan pembinaan dan pembaikan kapal.
Kelulusan sudah diberi kepada pelabur untuk meneruskan projek di kawasan 1,000 ekar terletak di Kuala Paloh, jelas beliau.
Turut berucap Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan dan YB Abdullah bin Haji Saidol, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan juga ADUN Semop.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Haji Naroden Majais dan Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi.
Sumber dari : Sarawakku