OGOS 2020

Ibrahim Baki Antara Tiga Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS Baharu


KUCHING: Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.8 Satok, Dato Ibrahim Baki, antara tiga Ahli Lembaga Pengarah Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang baharu.

PETRONAS dalam satu kenyataan media berkata, pelantikan ketiga-tiga ahli lembaga baharu itu berkuat kuasa pada 17 Ogos lalu.

"Ibrahim merupakan tokoh korporat yang disegani dan profesional undang-undang dengan pengalaman lebih dari 30 tahun di kedua-dua sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan," kata kenyataan itu semalam.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL. B) di United Kingdom, dan tamat Barrister-at-Law di Lincoln Inn, London sebelum memulakan kerjayanya pada tahun 1984, sebagai Pegawai Undang-Undang PETRONAS di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1985, dia menjadi rakan pengasas dalam Merrsr Idris Buang, Ibrahim Baki dan Co, Advocates dan Solicitors, Sarawak.

Sejak tahun 1991, Ibrahim telah terlibat dalam beberapa perniagaan pembangunan harta tanah, penghantaran, logistik, media dan perkhidmatan pengurusan.

Sementara, dua lagi ahli lembaga pengarah baharu yang dilantik ialah Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Dato Razali Mohd Yusof.

Sehubungan itu, PETRONAS yakin bahawa pengetahuan dan pengalaman ahli lembaga pengarah baharu akan menjadi tambahan yang berharga bagi syarikat.

Sumber dari : Jiwa Bakti