FEBRUARI 2021

Abang Zohari Rakyat Sarawak Pertama Terima Vaksin COVID-19 Hari Ini


KUCHING: Sarawak hari ini mula melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 di seluruh negeri. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjadi rakyat Sarawak pertama menerima vaksin COVID-19 di negeri ini. 

Beliau menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada jam 3.01 di Klinik Kesihatan Petra Jaya pada Jumaat. 

Selain Datuk Patinggi Abang Zohari, turut menerima suntikan vaksin COVID-19 ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Chin Zin Hing. 

Turut menerima suntikan dua orang petugas barisan hadapan dari Klinik Kesihatan Petra Jaya (KKPJ) Ketua Penolong Pegawai Perubatan Bahagian Kuching Beti Inka dan Jururawat Jabatan Kesihatan Awam Juliet Tijun. 

Pada 24 Februari lepas, sebanyak 23,400 dos vaksin Pfizer-BioNTech yang merupakan vaksin COVID-19 kumpulan pertama tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) untuk kegunaan rakyat Sarawak. 

Sementara itu, penghantaran kedua vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 31,590 dos vaksin dijangka tiba di Kuching pada 2 Mac, penghantaran ketiga sebanyak 4,680 dos pada 10 Mac, penghantaran keempat pada 17 Mac juga sebanyak 4,680 dos, penghantaran kelima pada 24 Mac sebanyak 14,040 dos manakala penghantaran keenam pada 31 Mac sebanyak 9,360 dos. 

Fasa pertama vaksinasi di Sarawak akan bermula Jumaat ini sehingga 31 Mac dengan sasaran seramai 97,161 petugas barisan hadapan. 

Fasa kedua dan ketiga pula akan bermula 1 April yang dijadual selesai pada 31 Ogos. -EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak