JANUARI 2020

Abg Jo Lancar Sayang Sarawakku di Tahun 2020


RABU, 1 Januari 2020 - Sambutan FIESTA 2020 Ambang Tahun Baru 2020 telah disambut dengan meriah sekali di Tebingan Kuching malam ini tadi.

Ketibaan YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Jo tepat pada jam 10.45 malam telah disambut oleh rakyat jelata yang sedang menantikan detik Tahun Baru 2020.

Dalam ucapannya kepada kira-kira 10, 000 rakyat Sarawak yang berada di Tebingan Kuching malam ini tadi, Ketua Menteri berkata Kerajaan Sarawak akan membawa satu program baru yang dikenali sebagai Program "Sayang Sarawakku" yang akan memberi penekanan terhadap semangat kecintaan, kebersamaan, kesatuan dan perpaduan rakyat Sarawak termasuklah dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Program ini yang akan bermula pada tahun 2020 akan memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat Sarawak.

“Semua mesti bersatu tenaga untuk membangun, melindungi dan menyayangi negeri kita. Inilah harapan kita untuk sama-sama terus berusaha memantapkan negeri dan memantapkan ekonomi kita,” katanya ketika berucap pada Fiesta Ambang Tahun Baharu 2020 di Tebingan Kuching malam tadi.

Di samping itu, Ketua Menteri juga berkata Kerajaan Sarawak akan meneruskan semua inisiatif Kerajaan Negeri termasuklah memberi bantuan untuk para ibu tanpa mengira kaum selepas bersalin, meneruskan pembinaan jaringan jalan raya dan jambatan, melaksanakan pembangunan projek- projek pertanian moden, dan sebagainya.

Hadir sama di sambutan FIESTA 2020 Ambang Tahun Baru tersebut, adalah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak , Datuk Snowdan Lawan dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting.

Sumber dari : Sarawakku