JANUARI 2020

Abg Jo Lancar Sayang Sarawakku di Tahun 2020


KUCHING: Sarawak mempunyai pengurusan kewangan terbaik dan ekonomi yang sangat memberangsangkan pada tahun 2019.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia berdasarkan kenyataan dan laporan agensi pengiktirafan antarabangsa bahawa Sarawak diiktiraf sebagai pengurusan terbaik di Malaysia dengan pencapaian A- oleh Standard and Poor Agency.

“Ini bukan saya kata. Ia diiktiraf oleh agensi pengiktirafan antarabangsa bahawa pengurusan kewangan di Sarawak adalah yang terbaik di Malaysia dengan pencapaian A-,” katanya ketika berucap di Majlis Fiesta Countdown 2020 di Tebingan Sungai Kuching, malam tadi.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha ke arah yang lebih baik pada tahun 2020 dalam usaha memberikan kemudahan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat jelata.

Ketua Menteri berkata, sumbangan sebanyak RM1,000 diberikan kepada anak yang baharu lahir di Sarawak dan pada tahun 2020, sumbangan sebanyak RM450 diberikan kepada ibu yang melahirkan anak untuk meringankan beban mereka.

"Selain itu, kita juga akan terus menaik taraf aktiviti pertanian dengan menggunakan kaedah moden serta menaik taraf sekolah-sekolah daif di kawasan luar bandar.

“Kerajaan Sarawak telah mendahulukan pembayaran kepada Kerajaan Pusat sebanyak RM1 bilion untuk projek tersebut,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut melancarkan Program Sayang Sarawak yang merangkumi pelbagai inisiatif seperti mempertahankan negeri Sarawak, pertahankan budaya agar Sarawak terus maju serta sentiasa membangun .

"Kita perlu bersama-sama berusaha untuk memantapkan negeri dan ekonomi dengan landasan yang betul untuk mencapai sasaran menjadi negeri termaju di Malaysia pada tahun 2030,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti