OKTOBER 2019

Ahmad Johnie Prihatin Nasib Kontraktor Kelas F, Rakyat Miskin Di Parlimen Igan


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa bayaran tertunggak kepada kontraktor Kelas F bagi projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan Parlimen Igan untuk tahun 2017 berjumlah RM300,000.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, jumlah tertunggak itu meliputi kos baik pulih rumah sebanyak lapan buah melibatkan kos RM94,000 dan bina baharu sebanyak tiga buah membabitkan kos RM204,000.

Untuk tahun 2018, bayaran tertunggak adalah RM730,000 dengan pecahan 26 rumah yang dibaikpulih dengan kos RM390,000 dan bina baharu lima buah (RM340,000), katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Jumlah kesemua bayaran tertunggak yang belum dibayar kepada konktraktor adalah RM1.03 juta, katanya.

Ahmad Johnie membawa masalah itu terus untuk pengetahuan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan memohon supaya diambil tindakan segera kerana kontraktor Kelas F tidak mempunyai modal pusingan yang cukup untuk berniaga.

Beliau berkata, kelewatan pembayaran oleh kerajaan tidak seharusnya berlaku kerana sudah menjadi dasar kerajaan untuk membantu usahawan-usahawan bumiputera khususnya di luar bandar.

Beliau amat sedih dengan nasib yang menimpa kontraktor Kelas F ini kerana mereka berdepan dengan masalah modal pusingan dan lebih teruk lagi reputasi mereka terjejas kerana para pembekal bahan binaan tidak percaya kepada mereka lagi.

“Saya membangkitkan masalah ini kerana ramai kontraktor Kelas F yang datang berjumpa dengan saya untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sejak tahun 2017 lagi,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Ahmad Johnie berkata, PPRT di kawasan Parlimen Igan perlu ditambah memandangkan penduduk di kawasan luar bandar amat memerlukan rumah yang lebih selesa untuk didiami.

Menurutnya, jumlah rumah PPRT itu amat penting di kawasan Parlimen ini, sama ada projek bina baharu atau baik pulih rumah PPRT yang sudah uzur.

Beliau membawa masalah ini di Dewan Rakyat kerana prihatin dengan nasib rakyat di luar bandar yang ramai berjumpa dengannya untuk memohon rumah PPRT ini.

Sumber dari: Jiwa Bakti