MAC 2020

Ahmad Johnie Rayu Penduduk Patuhi Perintah Kawalan Pergerakan, Parlimen Igan Hantar Bekalan Makanan


DARO: Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi merayu kepada orang ramai terutamanya di kawasan parlimen ini agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berada di rumah.

Menurutnya, dalam situasi sekarang, orang ramai perlu memastikan penjarakkan sosial antara satu sama lain serta mementingkan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan ke Bilik Gerakan Operasi Wabak Novel Coronavirus (Covid-19) di Pejabat Daerah Matu dan Pejabat Daerah Daro, hari ini.

Beliau sentiasa mengetahui perkembangan terkini mengenai tindakan dalam menguatkuasakan PKP serta mendapatkan maklumat tentang wabak berkenaan di kawasan Matu, Daro dan kawasan sekitarnya.

Pada masa sama, beliau juga melawat ke beberapa kedai runcit di sekitar Daro untuk memberi khidmat dan nasihat berkenaan peraturan yang perlu dipatuhi semasa berurus niaga khususnya tentang penjarakkan antara pembeli di kaunter pembayaran dan menyediakan pembersih tangan (hand sanitizer).

Selepas itu, beliau mengadakan tinjauan di kawasan sekatan jalan raya yang dilakukan bersama anggota polis dan melihat sendiri tindakan penguatkuasaan PKP.

“Atas rasa prihatin dan menghargai pengorbanan serta jasa petugas di barisan hadapan, saya telah mengarahkan pegawai Pusat Khidmat Parlimen P.207 Igan menghantar bekalan makanan dan minuman kepada pasukan keselamatan dan pegawai kesihatan sehingga tempoh perintah berakhir,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar sentiasa berada di dalam rumah melainkan ada keperluan berurusan di luar.

Sumber dari : Jiwa Bakti