KUCHING: Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang membabitkan perbelanjaan sejumlah RM1,154.54 juta, dilihat sebagai suntikan kepada ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia melibatkan perbelanjaan langsung oleh kerajaan Sarawak sebanyak RM974.75 juta.
Katanya, langkah ini bertujuan mengurangkan kesan kelembapan ekonomi sekali gus mengurangkan beban rakyat Sarawak.
“Ini ditambah pula dengan penangguhan pembayaran balik pinjaman, pengecualian bayaran dan diskaun perkhidmatan asas kerajaan Sarawak sebanyak RM179.79 juta bagi tahun 2020.
“Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang ini merupakan usaha kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membantu rakyat dan memberi tumpuan kepada kesan kemerosotan ekonomi akibat COVID-19,” katanya.
Pada masa sama, ini adalah usaha berterusan GPS untuk menggerakkan ekonomi Sarawak ke arah negara maju menjelang 2030, tambah beliau.
“Kerajaan GPS berkongsi rasa sedih bersama rakyat ketika ini. Kerajaan GPS adalah kerajaan prihatin dan kami berada di sini untuk bersama-sama dengan orang ramai (rakyat) terutama mangsa pandemik, peniaga, peniaga pasar malam, vendor dan pihak-pihak lain.
“Kita tidak tahu bila pandemik ini akan berakhir tetapi mari kita bersama-sama berdoa untuk diri, keluarga dan negeri ini. Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini merayu kepada orang ramai agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti