MEI 2021

Awang Tengah, Persatuan SME Bincang Isu IKS


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini menerima kunjungan hormat rombongan ahli Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) di pejabatnya, Wisma Sumber Alam di sini.

Rombongan ahli Persatuan SME itu diketuai Presidennya, Dato’ Seri Charles Voon Jan Poh. Mereka mengambil masa satu jam untuk membincangkan isu-isu semasa perusahaan kecil dan sederhana (IKS) di Sarawak.

Awang Tengah pada kunjungan hormat itu turut menyatakan pentingnya Persatuan SME Sarawak dalam membantu menyebarkan maklumat berkaitan bantuan dan inisiatif kerajaan negeri kepada SME Sarawak.

Beliau menegaskan, penting bagi persatuan itu untuk mendengar maklum balas di peringkat akar umbi kerana maklumat yang diberikan sangat penting untuk disalur kepada kerajaan bagi menyedia bantuan dan program inisiatif mengikut keperluan semasa.

Hadir sama Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Malcolm Mussen Lamoh dan Setiausaha Tetap Kementerian, Datu Liaw Soon Eng.

Sumber dari : Jiwa Bakti