KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyediakan tujuh inisiatif tambahan berjumlah RM141.7 juta bagi membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif tambahan itu menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan Ketua Menteri dalam membantu usahawan supaya dapat terus mengembangkan perniagaan dan perusahaan mereka khususnya dalam kalangan PKS.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri yang telah meluluskan inisiatif tambahan ini kepada PKS Sarawak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, bantuan itu diumumkan oleh Ketua Menteri dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 pada 21 Januari, 2021 bagi meringankan beban rakyat dalam meneruskan kehidupan seharian.
Bantuan yang diumumkan oleh Ketua Menteri itu meliputi bantuan berupa bukan kewangan (diskaun bil elektrik dan air), diskaun sewa premis perniagaan milik kerajaan serta penangguhan bayaran bagi pinjaman di bawah Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPKIS), katanya.
“Saya telah diarahkan untuk mengkaji dan membincang mengenai bantuan berbentuk kewangan bagi membantu PKS di Sarawak dalam menghadapi kesukaran dan cabaran kesan daripada pandemik Cxovid-19,” ujarnya.
Menurut Awang Tengah, oleh yang demikian, kementerian beliau mendapatkan pandangan daripada persatuan usahawan, institusi kewangan dan pemain industri termasuk mendengar keluhan rakyat terutama golongan usahawan.
Tujuh insiatif tambahan itu, katanya, dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 usahawan melalui program Tambahan RM50 juta di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Tambahan RM20 juta di bawah SKim Pinjaman PKS (SPIKS), menyediakan RM22.2 juta subsidi faedah bagi Targeted Relief and Recovery Faciliti (TRRF), menyediakan RM2.5 juta subsidi faedah bagi PENJANA Tourism Financing (PTF), tambahan RM20 di bawah Program Graduan Ke Aarah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vikasional (USTEV), menyedia RM20 juta di bawah Program Go Digital Sarawak dan menyediakan RM2 juta di bawah Program Latihan Digital Marketing.
Pada tahun 2020, tambahnya, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM3.4 juta bagi pelaksanaan Program GERAK dan USTEV dan ia mendapat sambutan sangat menggalakkan.
“Oleh itu, Ketua Menteri bersetuju untuk menyediakan peruntukan tambahan RM20 juta bagi membantu lebih ramai usahawan terutama sekali di kalangan belia,” katanya dan menambah, sejak 2018, kementerian beliau telah meluluskan 375 permohonan yang bernilai RM5.73 juta.
Awang Tengah menegaskan, SKMS yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak pada 2020 menawarkan pinjaman mudah sehingga RM50,000 dengan kadar faedah empat peratus setahun untuk membantu semua PKS termasuk mikro dan usahawan kumpulan B40.
Setakat ini, katanya, SKMS berjaya memanfaatkan 1,370 PKS termasuk usahawan mikro dan B40 dengan jumlah kelulusan pinjaman RM44.8 juta.
“Mereka kini menikmati subsidi faedah tiga tahun setengah dan enam bulan moratorium dan setakat Januari, 2021,” katanya.
Sebanyak 180 permohonan baharu masih dalam proses penilaian, katanya dan menegaskan, Kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk melanjutkan moratorium selama enam bulan bagi peminjam sedia ada.
Bagi permohonan baharu yang diluluskan sebelum 30 Jun, 2021, beliau berkata, Kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk memberi moratorium selama enam bulan dan subsidi faedah selama tiga tahun setengah.
Sumber dari : Jiwa Bakti