FEBRUARI 2021

PKP: RM1.42 Juta Bekalan Makanan Untuk KIR di Kapit, Song


KUCHING: Sebanyak 16,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di bahagian Kapit akan mendapat bantuan bekalan makanan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bahagian itu mulai 2 hingga 15 Februari.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengurusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bantuan bekalan makanan itu akan mula diagihkan pada Khamis ini (4 Februari) secara berperingkat-peringkat kepada setiap KIR yang terjejas.

“Kerajaan menyediakan bantuan bekalan makanan kepada KIR yang terjejas termasuk kos pengangkutan ialah kira-kira RM1.42 juta,” katanya pada sidang media di sini.

Peruntukan tersebut akan disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kapit yang diketuai oleh Residennya dan akan dibantu oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kapit, Song dan Belaga, tegas beliau.

“Pengagihan bantuan bekalan makanan termasuk ke 442 rumah panjang di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kapit iaitu di DUN Pelagus, DUN Katibas, DUN Bukit Goram dan sebahagian DUN Belaga akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian,” katanya.

Ini adalah kali kedua JPBN mengagihkan bantuan bekalan makanan segera kepada penduduk yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP di negeri ini, katanya sambil menambah, setakat ini sebanyak 36,805 KIR di Bahagian Sibu menerima bantuan serupa.

Menurut Awang Tengah, pengagihan bantuan bekalan makanan itu akan diketuai oleh jawatankuasa pengurusan bencana bahagian dan daerah dengan kerjasama agensi berkaitan seperti BOMBA, APM, ATM, KPDNHEP, pihak berkuasa tempatan, ketua masyarakat, JKKK dan NGO.

Beliau turut memberitahu, bantuan bekalan makanan itu hanya diagihkan kepada KIR dan penduduk yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP disebabkan pergerakan mereka yang terhad dan bukannya kepada semua penduduk.

Mengenai pengagihan bantuan bekalan makanan di Bahagian Sibu, katanya, setakat ini 36,805 atau 51 peratus KIR telah menerima bantuan terbabit dan buat masa ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu sedang giat mengagihkannya kepada penduduk yang terjejas.

Sumber dari : Jiwa Bakti