KUCHING: Kerajaan negeri menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) menyalurkan pelbagai bantuan
bernilai lebih RM3.2 bilion bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi kenyataannya berkata, dalam pakej ini, bantuan yang diberikan merangkumi pinjaman mudah tanpa faedah untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pemberian khas RM1,500 kepada penjaja dan peniaga kecil melalui Sarawak Pay.
“Penurunan kadar faedah dua peratus kepada sifar peratus selama tiga setengah tahun menerusi Skim Kredit Mikro serta pengecualian untuk penyewaan kepada PKS di sektor runcit yang beroperasi di premis milik GLC negeri,” kata kenyataan itu hari ini.
Ia sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen dalam laporan sebuah portal berita bertajuk “Chong: Is Sarawak govt withholding Covid-19 aid until closer to election?” bertarikh 13 Mei lalu, menuduh bahawa Kerajaan Sarawak menangguhkan bantuan kepada rakyat sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut kenyataan Kelab Penyokong GPS, tuduhan Chong itu tidak berasas sama sekali.
“Rekod prestasi kerajaan negeri dan bantuan disalurkan sehingga ke tahap tertentu, terbukti memberikan kehidupan selesa kepada peniaga kecil dan penjaja.
“Desakan kerajaan negeri terhadap kelangsungan ekonomi juga tercermin kebijaksanaannya dalam menangani pandemik Covid-19 melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu lagi, perniagaan kecil, pekerja sektor swasta, bekerja sendiri dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap juga dibantu.
“Ini disokong oleh keputusan untuk tidak mengenakan PKP di Sarawak baru-baru ini, sebaliknya meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” ujarnya lagi.
Katanya, DAP Sarawak tidak seharusnya mempolitikkan isu tersebut untuk mendapatkan publisiti murahan menggunakan nasib peniaga untuk membuktikan kesesuaiannya.
“Kerajaan negeri telah dan akan terus membantu peniaga kecil semasa Covid-19 dan kami yakin jika ada keperluan, bantuan itu tetap disalurkan,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti