KUCHING: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan ditetapkan pada satu tarikh yang sesuai ekoran pengisytiharan Darurat Kesihatan Covid-19 bermula 12 Januari hingga 1 Ogos depan.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tarikh tersebut akan ditetapkan setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berunding dengan Yang di-Pertuan Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
"Untuk itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menghadap Yang di- Pertuan Agong bagi memaklumkan tempoh DUN di bawah Perlembagaan Sarawak akan tamat pada 6 Jun ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai mesyuarat pimpinan tertinggi Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.
Menurut Alexander, mengikut kelaziman biasa DUN akan dibubar dengan sendirinya bagi membolehkan PRN12 diadakan selain mengembalikan mandat serta hak demokrasi rakyat memilih kerajaan melalui pilihan raya.
Bagaimanapun katanya, keputusan menunda tarikh pembubaran terpaksa diubah disebabkan situasi semasa selain pengisytiharan Darurat Kesihatan Pandemik Covid-19 demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
“Kita yakin atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri dalam perkara ini. Semasa darurat kesihatan pandemik Covid-19 ini kehidupan rakyat diutamakan,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti