NOVEMBER 2019

Baik Pulih Sekolah Daif Ikut Keutamaan


KUCHING: Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi mengakui masih banyak yang diperlukan untuk menangani masalah sekolah daif di negeri ini.

Menterinya, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, kementerian beliau akan mengemukakan masalah sekolah daif kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk dipertimbangkan.

“Jabatan Pendidikan Negeri akan melaksanakan projek baik pulih itu mengikut keutamaan bagi menangani masalah sekolah daif itu,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementerian beliau pada persidangan DUN di sini hari ini.

Keutamaan akan diberikan kepada sekolah-sekolah daif dikategorikan kritikal Skala 6 dan 7, sekolah terdedah kepada banjir dan tanah runtuh, sekolah jumlah murid lebih 100 orang, sekolah pusat yang menggabungkan sekolah kurang murid dan tiada isu berkaitan tapak sekolah, katanya.

Beliau berkata, peruntukan dan jumlah sekolah daif yang telah dipulihkan oleh kerajaan terdahulu ialah 20 sekolah berjumlah RM69.714 juta (pada 2016), 30 sekolah membabitkan peruntukan RM92.68 juta (2017) dan 116 sekolah berjumlah RM416.576 juta (2018).

Kesemua projek membangunkan sekolah ini, katanya, menggunakan kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS) ditawarkan pada Februari 2018 dan dijadual siap selewat-lewatnya pada Ogos, 2018.

Menurut Manyin, 50 sekolah di bawah kawal selia Jabatan Kerja Raya (JKR) dan 66 sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Persekutuan dan kesemua sekolah di bawah seliaan JKR telah siap.

Bagaimanapun, tambahnya, 66 sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan persekutuan, 13 dikategorikan sebagai projek sakit dan masih belum siap.

Pada tahun ini, katanya, peruntukan RM100 juta disediakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membaikpulih 32 sekolah yang masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada awal 2020.

Setakat ini, sejumlah 153 sekolah daif dibaik pulih dengan 43 sekolah berjaya dipulih atau dibina semula di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). “Ini bermakna hanya tinggal 19.2 peratus daripada jumlah sekolah daif berjaya dibaik pulih dengan menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

Sumber dari: Jiwa Bakti