NOVEMBER 2019

Bajet 2019 untuk Sarawak tidak spesifik, Abang Johari kecewa


KUCHING: Peruntukan Bajet 2019 sejumlah RM4,346 juta yang diperuntukkan kepada negeri Sarawak dilihat lebih menjurus kepada pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang rancak dijalankan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau kecewa kerana tidak ada peruntukan spesifik untuk negeri Sarawak dalam pembentangan Bajet 2019 semalam.

“Saya mendapati dana itu mungkin lebih kepada pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo, tidak ada spesifik bajet untuk bekalan air luar bandar, sekolah dan sebagainya,” katanya selepas sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Penview, hari ini.

Abang Johari berkata, Sabah yang hanya memulakan projek Lebuhraya Pan Borneo menerima peruntukan kira-kira RM5 bilion berbanding Sarawak yang sudah melaksanakan projek tersebut.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri ada menawarkan pinjaman RM1 bilion kepada Kerajaan Pusat untuk sekolah-sekolah daif, namun sehingga kini kerajaan negeri belum menerima maklum balas.
Sementara itu, pada sambutan Hari Wanita, isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang menerima Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib.

Abang Johari turut melancarkan buku Sarawak Women and Wellness.