NOVEMBER 2020

Bajet Sarawak 2021 RM9.832 Bilion


KUCHING: Sejumlah RM9.832 bilion dicadangkan dalam Bajet Sarawak 2021, yang terus menumpukan kepada pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata daripada jumlah ini, sejumlah RM6 bilion untuk digunakan dalam Akaun Dana Pembangunan bagi membiayai pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan manakala RM3.832 bilion adalah untuk perbelanjaan operasi.

“Perbelanjaan operasi yang dicadangkan sebanyak RM3.832 bilion pada 2021 terdiri daripada RM874 juta atau 23 peratus untuk gaji kakitangan serta RM1.269 bilion atau 33 peratus untuk bekalan dan perkhidmatan.

“RM1.295 bilion atau 34 peratus untuk geran dan pembayaran tetap yang merangkumi geran operasi kepada Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, pembayaran hutang awam dan pembayaran ganjaran, pencen, biasiswa termasuk kewangan dan bantuan kebajikan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

“RM73 juta untuk perolehan aset dan RM321 juta untuk perbelanjaan operasi lain,” katanya ketika membentangkan Bajet Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Abang Johari menambah bagi perbelanjaan pembangunan, Abang Johari berkata sejumlah RM6.304 bilion dicadangkan di bawah Anggaran Perbelanjaan Pembangunan bagi membiayai pelbagai program dan projek.

Katanya anggaran ini telah dipertimbangkan antara lain komitmen untuk menyelesaikan pelaksanaan projek yang sedang berjalan dari Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), keupayaan untuk melaksanakan projek sepanjang tahun dan pelaksanaan projek pemangkin, impak tinggi dan tumpuan rakyat.

Sementara, Abang Johari berkata belanjawan yang bertemakan “Menyemarakkan Semula Ekonomi ke arah Berdaya Tahan, Prihatin dan Masyarakat Inklusif”

ini juga dijangka menjana lebihan RM180 juta.

Katanya ia berdasarkan anggaran pendapatan sebanyak RM10.012 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa yang dicadangkan sebanyak RM9.832 bilion. - Utusan Borneo





Sumber dari : Sarawakku