BINTANGOR: Seramai 65,000 peniaga kecil dan penjaja di seluruh Sarawak yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Tempatan bakal menerima manfaat dari Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).
Menurut ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, setiap peniaga yang layak akan menerima RM1,500 yang dibayar melalui akaun Sarawak Pay dengan kos keseluruhan berjumlah RM98.4 juta.
Jelasnya, bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung para penjaja khasnya di daerah Meradong yang terjejas teruk kerana tidak dapat menjalankan berniaga semasa Perintah Kawalan Pergerakan.
Terdahulu pada pagi ini, beliau membantu penjaja Daerah Meradong di Pasar Tamu Bintangor memuat turun dan mendaftar aplikasi Sarawak Pay dalam telefon bimbit untuk memudahkan pembayaran dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.
Perkhidmatan untuk mendaftar Sarawak Pay diadakan dalam minggu ini mulai jam 9 pagi hingga 1 petang di Pasar Tamu Bintangor. – Edisi UKAS
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak