Ogos 2019

Beri Kerjasama Lancarkan Projek Nanga Menuan/Nanga Setepus - Alexander
Posted by Jiwa Bakti on Tuesday, 27 August 2019


KAPIT: Kerjasama daripada semua pihak terutama masyarakat sekitar amat diperlukan bagi memastikan kelancaran projek pembinaan Jalan Nanga Menuan/Nanga Setepus.

Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata ini kerana jalan sepanjang 15 kilometer (km) bernilai lebih RM53 juta bakal membuka ekonomi penduduk di kawasan terbabit.

“Saya meminta penduduk di kawasan terbabit supaya menjalinkan kerjasama dengan ketua kaum, ketua masyarakat, syarikat pemaju, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survei serta agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran projek tersebut.

“Jika ada kemusykilan guna saluran yang betul termasuk pejabat daerah dan wakil rakyat bagi membincangkannya terutamanya melibatkan peruntukan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengiringi Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi melawat projek Jalan Nanga Menuan/Nanga Setepus hari ini.

Sehubungan itu, Alexander berterima kasih kepada kerajaan Sarawak atas keprihatinan pelaksanaan projek tersebut yang amat diperlukan oleh penduduk luar bandar.

“Pada hari ini kita sangat bertuah kerana kerajaan Sarawak memberikan projek jalan raya yang melibatkan peruntukan besar dan memanfaatkan rakyat,” katanya.

Sumber dari: Jiwa Bakti