Ogos 2019

Skim Pembesaran Kampung (SPK) Diperluaskan Di Seluruh Sarawak


LAWAS: Kerajaan negeri akan memperluaskan pelaksanaan program Skim Pembesaran Kampung (SPK) di seluruh Sarawak bagi memastikan rakyat yang sudah berkeluarga memiliki tanah lot untuk mendirikan rumah mereka.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setiap SPK juga akan dilengkapkan dengan kemudahan asas seperti kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik serta jalan berturap dan parit konkrit.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah menurunkan 50 peratus kadar premium tanah untuk SPK dan Skim Penempatan Semula dengan kadar premium ditetapkan sebanyak RM2,500 berbanding kadar asal RM5,000.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian pecah Tanah Dan Skim Pembesaran Kampung Sundar dan Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 kanun Tanah Negeri di Lawas.

Dalam majlis tersebut, seramai 135 penerima telah menerima surat hak milik tanah bagi skim pembesaran kampung untuk kawasan Sundar.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar Dan Sumber Asli Kedua menambah, surat hak milik tanah yang diserahkan kepada penerima bukan untuk dijual-beli.

Jelas beliau, pertukaran hak milik tanah hanya akan dipertimbangkan atas sebab-sebab tertentu contohnya antara keluarga dan permohonan harus dibuat kepada Jabatan Tanah Dan Servei untuk pertimbangan.

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata, orogram penyukatan kampung tradisi di negeri ini akan diteruskan sehingga surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dikeluarkan.

Beliau menjelaskan, kerja-kerja penyukatan tersebut dilakukan secara percuma hasil inisiatif kerajaan negeri menerusi Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. -Edisi UKAS

Sumber dari: Unit Komunikasi Awam Sarawak