Julai 2019

Cadangan Penamaan Semula Bahagian Simanggang, Bandar Sri Aman Akan Dibawa Ke Kabinet


KUCHING, 8 Julai 2019 : YAB Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg telah menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Anak Perantau Melayu Simanggang bertempat di Dewan Suarah Kuching, malam tadi.

Ketika berucap semasa majlis, YAB Ketua Menteri berkata bahawa pembangunan di kawasan Simanggang akan ditingkatkan yang mana jalan raya di kawasan Astana iaitu jalan raya yang ada diantara Dewan Masyarakat sehingga ke kawasan Regatta akan dibina jalan raya dua laluan seperti yang ada di Bandaraya Kuching.

Selain itu, kawasan tepi sungai juga akan dinaiktaraf yang mana kawasan Tebingan Sungai Simanggang juga akan ditambah yang akan meliputi kampung-kampung di sekitar Simanggang.

"Kita besarkan infrastruktur dan kita bangunkan Sri Aman termasuklah kawasan hijau. Ini adalah satu tambahan kepada Pelan Utama Pembangunan Simanggang dan ia akan dimasukkan dalam rancangan kita tahun hadapan, bajet tahun hadapan", ujar beliau.

Tambah beliau lagi, jalan pesisir (Second Trunk Road) juga akan dibuka yang antaranya merangkumi kawasan daripada Kota Samarahan sehingga ke Sebuyau. Ini termasuklah pembinaan Jambatan Batang Lupar kini dan akan bersambung sehingga ke Pekan Betong.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau turut menyatakan bahawa beliau akan membawa cadangan untuk menamakan semula Bahagian Sri Aman kepada Bahagian Simanggang dan Sri Aman akan dijadikan sebagai Bandar ke Kabinet untuk dipertimbangkan.

Dianggarkan seramai 300 orang anak perantau Simanggang telah menghadiri majlis tersebut.

Sumber dari: Sarawakku