APRIL 2021

CENTEXS Komersial Wujudkan Platform Pemasaran Produk Tempatan


KUCHING: Pelbagai platform pengkomersialan utama diwujudkan oleh Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Komersial bagi membantu pengusaha tempatan di negeri ini sejak penubuhannya 4 April 2019.

Berlandaskan misi menjadi sempadan pengkomersialan produk warisan dan digital Sarawak menjelang 2030, CENTEXS Komersial komited membantu mempromosikan pelbagai produk tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut kenyataan medianya, usaha tersebut termasuk menjadi platform graduan CENTEXS meneroka bidang perniagaan selain memberi peluang kepada mereka menggunakan kemahiran untuk menjana pendapatan.   

Antara pencapaian CENTEXS Komersial ialah membina platform pemasaran produk tempatan menerusi platform fizikal dan dalam talian seperti menubuhkan Galeri Pusat Warisan Sarawak, Galeri Songket dan Keringkam CENTEXS, aplikasi SARA-X, Teknologi Pertanian Bandar Pintar CENTEXS (C-USAT) dan lain-lain.

Selain itu, CENTEXS Komersial juga akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perindustrian Terminal dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED) dan lain-lain agensi bagi meningkatkan sosioekonomi negeri sekali gus masyarakat.

"Kesejahteraan industri pengkomersialan dan kepentingannya secara aktif juga akan dikembangkan oleh CENTEXS Komersial untuk memastikan produk warisan Sarawak sentiasa terpelihara dan dapat memberi keuntungan kepada rakyat," kata kenyataan itu.

Justeru, CENTEXS Komersial segera menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah (MANRED) untuk membantu dan meningkatkan pemasaran produk tempatan menggunakan pemasaran digital.

Sumber dari : Jiwa Bakti