APRIL 2021

Tempoh PKPB Bintulu Dilanjut Sehingga 17 Mei


BINTULU: Semua individu wajib menjalani ujian  saringan RT-PCR bagi pergerakan keluar dan masuk ke bahagian ini kecuali perkhidmatan perlu, kecemasan, temu janji kesihatan dan urusan pengebumian sahaja.

Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat berkata, arahan tersebut termasuk dalam intipati prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bintulu.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (JPBBB) turut memutuskan untuk melanjutkan tempoh PKPB sehingga 17 Mei depan supaya selaras dengan SOP yang diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) prosedur operasi standard 

(SOP) Diperketatkan terkini bagi bahagian Bintulu di sini, hari ini.

Menurut Jack, tiada individu dibenarkan  berada di tempat awam selepas jam 8 malam tanpa sebab atau alasan yang munasabah. 

Bagaimanapun katanya, bagi individu yang bekerja dalam perkhidmatan perlu, mereka boleh menggunakan surat pengesahan daripada majikan masing-masing. 

"Aktiviti keagamaan di masjid dan surau juga masih dibenarkan tertakluk kepada arahan pihak berkuasa agama dan tidak akan dikenakan saman," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti