KUCHING: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memperuntukkan RM70 juta bagi melaksanakan beberapa program strategik, kata Menteri Kanan Infrastruktur-Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurutnya, ia bertujuan meningkatkan kapabiliti dan kapasiti penggiat industri pembinaan yang terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani penularan Covid-19 baru-baru ini.
Katanya, usaha ini bagi menyokong dasar semasa negara dalam:
1. Meningkatkan penggunaan teknologi
2. Pengurangan pekerja asing, dan
3. Menyediakan pekerjaan bagi pekerja tempatan
“Program yang disediakan dan mula dilaksanakan pada tahun ini, dilihat mampu memberi pendedahan dan juga melatih 30,000 penggiat industri iaitu dari golongan kontraktor, personel binaan dan belia di dalam pelbagai bidang kemahiran, penyeliaan dan pengurusan dan penggunaan teknologi di dalam pembinaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Fadillah memberitahu, sejumlah 17,700 personel binaan tempatan dan belia tempatan bakal mendapat manfaat dari program-program berbentuk latihan Skilling, Reskilling, Upskilling, serta akreditasi kemahiran yang akan dilaksanakan.
Usaha ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran personel dan belia tempatan di dalam bidang berimpak tinggi untuk membina kerjaya di dalam industri pembinaan, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing, katanya.
Sehubungan itu, katanya CIDB menyediakan program perantisan dan seramai 7,800 belia tempatan diberi peluang ditempatkan di syarikat pembinaan untuk dilatih dan memperoleh pengalaman bekerja.
Seramai 3,700 personel binaan dan belia tempatan juga akan dilatih di dalam bidang penyeliaan dan pengurusan projek, manakala 400 lagi dilatih di dalam bidang keselamatan tapak bina, tambah beliau.
Selain program-program latihan kemahiran untuk personel dan belia, CIDB turut mengadakan beberapa inisiatif untuk mempertingkatkan penggunaan teknologi di kalangan kontraktor.
Beliau berkata, CIDB merancang untuk melahirkan pengeluar komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan memudahcara kontraktor tempatan untuk beralih dari sistem konvensional kepada IBS.
Untuk meningkatkan penggunaan Building Information Modelling (BIM), CIDB turut menyediakan subsidi pembelian perisian BIM yang boleh dimanfaatkan oleh penggiat industri.
Katanya, bagi memudahkan pengguna dan pemilik rumah membuat carian dan mendapatkan perkhidmatan kontraktor-kontraktor kecil tempatan CIDB telah membangunkan aplikasi mudah alih kontraktor 4U. Pendaftaran untuk aplikasi tersebut dibuka untuk semua kontraktor, terutamanya dari golongan kontraktor G1 dan G3.
Setakat ini katanya, seramai 4,500 kontraktor berdaftar di dalam aplikasi tersebut. Semua peruntukan ini adalah tambahan kepada pakej Prihatin CIDB bernilai RM9 juta yang diumumkan pada 7 Mei semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sumber dari : Jiwa Bakti