NOVEMBER 2020

COVID-19: Semua Rakyat Sarawak Akan Diberi Vaksin - Douglas Uggah


KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak akan memastikan semua rakyatnya beroleh akses kepada vaksin COVID-19.

Menurut Timbalan Ketua Menterinya Datuk Amar Douglas Uggah, perkara itu telah diutarakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang berjanji memperuntukkan dana apabila vaksin COVID-19 tersedia di negeri itu.

“Oleh itu kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menyahut seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Sidang Kemuncak Asean-China ke-23 pada khamis untuk menjadikan Malaysia yang utama untuk menerima vaksin COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, jawatankuasa itu akan memastikan semua langkah menangani COVID-19 adalah keutamaan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, ia merangkumi usaha mengekang penularan COVID-19, mengelak penutupan sektor perniagaan sekali gus membenarkan sektor itu beroperasi dengan risiko jangkitan yang minimum, tiada sekolah dan taska ditutup serta memastikan penjagaan dan sistem kesihatan awam mencapai kehendak rakyat dalam menangani COVID-19.

Dalam menangani COVID-19, Uggah menjelaskan JPBN Sarawak telah mengadaptasi beberapa polisi seperti Jejak, Saring, Kuarantin dan Pengasingan kepada kes positif virus tersebut.

"RM96 juta juga telah dibelanjakan kerajaan negeri untuk menangani pandemik COVID-19 sepanjang bulan Mac hingga Oktober. Semua usaha ini dilakukan untuk memastikan Sarawak berada pada zon hijau dan bebas COVID-19," katanya.

Sumber dari : Astro Awani