NOVEMBER 2020

Fazzruddin Cadang Bina Jobssarawak, Bantu Rakyat Hilang Pekerjaan


KUCHING: Kerajaan perlu merancang pelan untuk membantu golongan yang hilang pekerja akibat Covid-19, di negeri ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.6 Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, satu sistem yang lebih kukuh perlu ditawarkan bagi mengenal pasti golongan siswazah atau pekerja mahir yang hilang pekerjaan.

"Contohnya, Latihan Peningkatan Graduan Sarawak (GETS) boleh diperluaskan, diperincikan dan menambah bilangan kuota supaya siswazah yang hilang pekerjaan boleh ditempatkan di syarikat swasta yang berdaya saing dalam industri terpilih," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa membahas Bajet Negeri 2021, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Fazzruddin mencadangkan supaya Kerajaan Sarawak perlu membina platform JobsSarawak, sebagai kaedah membuka peluang kepada rakyat Sarawak untuk mendapatkan pekerjaan.

"Ia sama seperti JobsMalaysia, namun platform ini khas untuk diisi oleh rakyat Sarawak," katanya. 

Katanya, usaha ini juga membantu syarikat yang beroperasi di Sarawak untuk mengiklankan kekosongan mereka di JobsSarawak.

Sumber dari : Jiwa Bakti