KUCHING: Penularan wabak Novel Coronavirus (Covid-19) yang semakin membimbangkan ini bukan sahaja menjadi mimpi ngeri untuk negara China malah buat seluruh dunia.
Pada 12 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan situasi penularan Covid-19 sebagai pandemik.
Oleh demikian, di sebalik penularan wabak ini, lebih 1,700 kakitangan One Medicare Sdn Bhd di 23 hospital seluruh Sarawak melaksanakan tugas dan pengorbanan yang begitu besar kepada masyarakat.
Mereka berusaha siang dan malam membantu pesakit dan membendung penyebaran jangkitan virus ini.
Mereka adalah Operator Pembersihan, Porter, Pekerja Bahagian Linen dan Pendobian, Pemandu Lori Sisa-sisa Klinikal dan Technician bersengkang mata, berjauhan daripada keluarga, mengambil risiko melaksanakan tanggungjawab dan berkhidmat untuk komuniti bagi mengekang virus ini daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.
Kita mungkin tidak dapat melihat dengan dekat pengorbanan mereka, akan tetapi merekalah wira yang tidak didendang dalam usaha membolehkan kita meneruskan hidup seperti biasa tanpa memikirkan penularan virus ini.
Mereka kental berada di barisan hadapan membantu di hospital dan menghadapi virus ini setiap hari.
Di sebalik pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus melaksanakan tanggungjawab dan khidmat, ada segelintir masyarakat yang masih lagi menyebarkan pelbagai fitnah dan berita palsu untuk menakut-nakutkan orang ramai.
Mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah ini tidak memikirkan kesan dan semangat moral terhadap kakitangan yang bertugas, dan juga akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Sumber dari : Jiwa Bakti