MAC 2020

JAPEN Sebar Maklumat Perintah Kawalan Pergerakan Melalui Unit Bergerak


KUCHING: Sebagai langkah memperluas kesedaran umum semasa ancaman wabak Covid-19, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak melakukan inisiatif menyebar maklumat Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) melalui Unit Bergerak JAPEN dengan penggunaan rakaman hebahan awam pelbagai bahasa termasuk bahasa tempatan di Sarawak.

Usaha ini melibatkan kesemua Unit Bergerak JAPEN daerah di seluruh negeri yang dilengkapi dengan peralatan pembesar suara bertujuan untuk mempertingkat kecaknaan komuniti tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020.

Meskipun dalam keterbatasan jumlah dan pergerakan anggota yang minima semasa melaksanakan tugasan hebahan di lapangan, ianya bukan penghalang bagi anggota lapangan menggalas tanggungjawab untuk membantu menyebar luas pengumuman berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan ke pelbagai lokasi seperti sekitar kawasan bandar, pekan, taman perumahan, kampung, rumah panjang serta kawasan pedalaman setempat.

Pegawai Penerangan Daerah Sibu, Rosman Zaini menyatakan beliau bersama anggota Unit Bergerak JAPEN Sibu bergerak ke sekitar kawasan tumpuan utama di bandar Sibu seperti di Terminal Bot Ekspres Sibu, Pasar Sentral Sibu, Jalan Tukang Besi, Jalan Bujang Suntong, Jalan Pulau dan Jalan Terminal Bas Sibu serta kemudiannya menuju ke kawasan kampung antaranya Kampung Hilir, Kampung Datu dan Kampung Nangka.

“Unit Bergerak JAPEN Daerah Sibu membuat hebahan awam ke seluruh daerah Sibu termasuklah kawasan pedalaman bagi membantu kerajaan memberi kesedaran berkaitan langkah-langkah yang perlu dipatuhi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan,” ujar Rosman.

Tambah Rosman, empat bahasa digunakan sebagai medium hebahan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Iban.

Meninjau ke zon utara Sarawak, anggota lapangan JAPEN Daerah Limbang, Nur Ain berkongsi bahawa beliau bersama juruaudio visual, Muhamad Rizal Sabtu telah memulakan hebahan awam Unit Bergerak JAPEN Limbang bermula jam 8.30 pagi sehingga ke petang merangkumi sekitar kawasan bandar Limbang, Limbang Housing, Batu Biah, Taman Pertama, Kampung Sungai Poyan, Kampung Baru Kuala Barawan, Kampung Malagangai, Jalan Pandaruan dan Kampung Limpaki.

Sementara itu, di sekitar Kuching pula hari ini Unit Bergerak JAPEN Daerah Kuching giat membuat hebahan awam di pelbagai lokasi seperti pasar Demak,Kampung Muara Tebas, Kampung Bako, Kampung Goebilt dan Kampung Senari.

Salah seorang penduduk Kampung Muara Tebas Kuching, Hasibah Rasit yang sempat berkongsi pandangan beliau berhubung kebaikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan selain memuji usaha anggota JAPEN menyebarkan maklumat kepada masyarakat akar umbi terutama penduduk kampung.

“Saya amat menghargai usaha kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan demi mencegah penularan wabak COVID-19 demi kebaikan bersama rakyat Malaysia dan terima kasih juga kepada pihak JAPEN yang sudi menyampaikan hebahan awam berhubung arahan tersebut kepada kami penduduk di Kampung Muara Tebas,” kata Hasibah.

Pegawai Penerangan Daerah Kuching, Magdellina Alfred Jeho berharap agar hebahan awam yang dilaksanakan oleh JAPEN dapat membantu kerajaan mengurangkan pergerakan orang ramai di luar sekaligus mencegah kemungkinan penularan COVID-19.

“JAPEN Daerah Kuching akan turun padang menyebar hebahan awam dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memberi peringatan kepada masyarakat sekitar Kuching tentang Arahan ini.

“Kita akan bergerak ke pelbagai lokasi bermula dari sekitar Santubong sehingga ke kawasan Puncak Borneo,” kata Magdellina.

Hebahan awam oleh JAPEN merupakan medium konvensional dalam penyampaian komunikasi maklumat ke masyarakat akar umbi dan ianya masih menjadi praktik JAPEN untuk menghebahkan maklumat kepada orang ramai terutamanya dalam situasi mencabar negara mendepani penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Sumber dari : TVSarawak