OKTOBER 2019

Douglas Uggah Berpuas Hati Dengan Pengeluaran Golden Melon Menerusi Sistem Fertigasi


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berpuas hati dengan hasil pengeluaran golden melon yang ditanam menerusi sistem fertigasi di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi.

Menurutnya, buat julung kalinya sebanyak 1,500 buah atau kira-kira dua tan golden melon berjaya dihasilkan menerusi sistem fertigasi di situ.

"Saya datang ke sini hari ini untuk menyaksikan penuaian pertama golden melon menggunakan sistem fertigasi.

"Ini merupakan satu pencapaian yang baik untuk masa depan petanian moden sekali gus meningkatkan produktiviti produk pertanian di Sarawak," katanya semasa melakukan lawatan kerja di TKPM Rampangi, hari ini.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu menambah, kerjasama dengan Lotus Farm Agritech dalam penanaman golden melon menerusi sistem fertigasi dan penggunaan rumah hijau membuahkan hasil yang membanggakan.

Katanya, kejayaan itu boleh memacu Sarawak sebagai negeri pengeksport makanan menjelang 2030.

Sementara itu, Fabian Ng Eng Hieng dari Lotus Farm Agritech yang menguruskan penanaman golden melon memberitahu, pihaknya telah menggunakan lebah kelulut untuk membantu pendebungaan. -Edisi UKAS

Sumber dari: Unit Komunikasi Awam Sarawak