Julai 2019

Empat Orang Anak Allahyarham Mohd Sapee Terima Bantuan Daripada Isteri Ketua Menteri


SIBU: Empat orang anak Allahyarham Mohd Sapee, 55 tahun, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sibu yang meninggal dunia selepas menyertai operasi menangkap ular sawa menerima sumbangan daripada isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Jumai’ani Tuanku Bujang di sini, semalam.

Majlis yang diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu berlangsung dalam suasana pilu.

Allahyarham Mohd Sapiee yang merupakan bapa tunggal dan bertugas di BBP Sentral Sibu meninggalkan empat orang anak lelaki yang berusia sembilan hingga 18 tahun.

Datin Patinggi Jumai’ani kemudiannya meluangkan masa dan berbual dengan tiga anak Allahyarham yang hadir pada majlis itu.

Ketika ini, anak-anak Allahyarham dijaga oleh adik kepada Allahyarham, Rokiah Julaihi.

Sementara itu, Pengarah JBPM Negeri Sarawak Khirudin Drahman berkata pemergian Allahyarham adalah suatu kehilangan besar kepada JBPM.

“Mohd Sapee seorang yang pendiam tetapi mudah mesra dengan rakan sekerja kerana sering memberikan kerjasama dalam apa jua tugasan.

“Atas sebab itu, kita amat berasa akan kehilangan beliau sebagai suatu kehilangan yang besar,” katanya.

Pada 21 Jun lalu, Allahyarham Mohd Sapee telah menyertai suatu operasi menangkap ular sawa di Permai sekitar jam 4.00 pagi sebelum mengadu sakit dada semasa dalam perjalanan balik ke balai bomba.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.55 pagi dipercayai akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan islam Sibu dekat Jalan Tun Abang Haji Openg sebelum solat Jumaat.

Hadir sama Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Yang Berhormat Dr Annuar Rapaee, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw dan Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Mohamad.

Sumber dari: Unit Komunikasi Awam Sarawak