KUCHING : Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, memberi jaminan kepada rakyat Sarawak bahawa apa pun keputusan yang diambil oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ia adalah demi kepentingan negara, tanpa mengorbankan hak dan kepentingan Sarawak.
Dalam satu kenyataan media susulan perkembangan politik semasa yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, Pengerusi GPS itu berkata, apa yang lebih penting adalah perlunya kestabilan politik Malaysia bagi membolehkan negara terus bergerak maju ke hadapan.
Menurut kenyataan itu, negara kini berdepan masalah ekonomi susulan keadaan yang tidak menentu , disamping serangan wabak Covid-19 yang perlu ditangani dengan kadar segera.
Justeru, Kerajaan GPS akan patuh kepada apa juga keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi berdasarkan Artikel 40 (2) (a) dan (b), Artikel 43 (2) (a) dan Artikel 55 (2) yang dibaca bersama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sumber dari : Jiwa Bakti