KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus melangkah untuk membangunkan Sarawak demi rakyat negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, GPS berjuang atas fakta dan semangat ahli-ahlinya yang merupakan penyokong tegar GPS.
“Kita berjuang atas fakta dan semangat kita, keyakinan kita untuk mengangkat martabat rakyat Sarawak. Inilah perjuangan GPS yang menjadi penyelamat Sarawak yang boleh mempertahankan dan membangunkan negeri ini,” katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Lebih 5,000 perwakilan GPS seluruh negeri ini menghadiri konvensyen sehari itu.
Menurut Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, paling penting rakyat Sarawak tidak akan keluar dari Malaysia sebaliknya tetap mempertahankan hak Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sehubungan itu, beliau meminta ahli GPS agar mengeratkan perpaduan dan terus berjuang demi masa depan bangsa dan negeri ini.
Abang Johari mengakhiri ucapan beliau dengan pantun berbunyi:
Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Jangan disokong Pakatan Harapan,
Kalau tidak, hak Sarawak semua disapu.
Sumber dari : Jiwa Bakti