SEPTEMBER 2019

Guna Dana RM350 Juta Perbaiki 37 Sekolah Daif


BINTULU: Kerajaan negeri komited dalam usaha membantu menyelesai masalah sekolah daif di negeri ini.

Ke arah usaha itu, kerajaan negeri akan menggunakan dana RM350 juta yang merupakan bayaran pertama kepada Kerajaan Pusat bagi memperbaiki dan menaik taraf 37 sekolah daif di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, daripada senarai 37 sekolah daif berkenaan, 30 daripadanya akan ditender pada Oktober dan Disember depan manakala dua lagi akan ditender pada September ini.

Sementara, lima lagi sudah ditender pada Ogos lalu menggunakan dana tersebut,ujarnya ketika berucap selepas mengadakan lawatan singkat ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tisang di Jalan Bintulu-Miri di sini, petang tadi.

Dana itu merupakan bayaran pertama daripada hutang RM1 bilion kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat untuk menaik taraf 37 buah sekolah daif di negeri ini, katanya sambil memberitahu bayaran kedua dan ketiga akan dilakukan masing-masing pada Januari dan Jun 2020.

Jumlah keseluruhan sekolah yang akan dinaiktaraf menggunakan dana berjumlah RM1 bilion itu, katanya, adalah sebanyak 107 buah sekolah.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Datuk Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi, Ahli Parlimen Bintulu Dato' Seri Tiong King Sing, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Dr. Adzhar Ahmad antara yang hadir.

Sumber dari: Jiwa Bakti