KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing berkata Pakatan Harapan (PH) menggunakan hal ehwal pemimpin masyarakat untuk memecah perintah rakyat Sarawak.
Jelas Masing, prosedur standard dalam perlantikan pemimpin masyarakat telah diamalkan bertahun lamanya.
Dalam kes komuniti Iban katanya, Tuai Rumah adalah dipilih oleh pimpinan mereka masing-masing sebelum pemilihan mereka disahkan oleh kerajaan.
Sama juga dalam hal komuniti Orang Ulu tetapi pemilihan pemimpin masyarakat mereka adalah mengikut norma-norma mereka sendiri dari segi struktur sosialnya.
“Ini adalah prosedur standard dalam pemilihan ketua kaum yang telah diamalkan bertahun-tahun.
“Tindakan kerajaan PH ini hanya mengambarkan kejahilan mereka mengenai struktur sosial dan budaya rakyat di Sarawak.
“Kita tidak akan membenarkan atau bersetuju dengan kerajaan PH untuk mempunyai dua Tuai Rumah bagi mentadbir sebuah rumah panjang,” kata Masing menerusi kenyataan hari ini.
Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah berhubung perlantikan pemimpin masyarakat.
Sivarasa ketika berucap pada Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sarawak malam Ahad lepas berkata kerajaan PH akan melantik sendiri pemimpin masyarakat di Sarawak.
Kerajaan persekutuan menurut Sivarasa juga akan merombak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di empat negeri Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perlis termasuk Sarawak.
Sumber dari: Utusan Borneo Online / TV Sarawak (Facebook)