MEI 2020

Hormati Satu Sama Lain Walaupun Berbeza Agama, Pertingkatkan Ilmu Dan Kemahiran Untuk Kebaikan Dunia Dan Akhirat


LIMBANG: Umat Islam digalakkan untuk berinteraksi bukan sahaja dalam kalangan masyarakat seagama sahaja tetapi juga dengan masyarakat lain yang tidak seagama supaya wujud suasana yang mesra dan hormat-menghormati di antara satu dengan yang lain.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah bin Ali Hasan berkata ini penting dalam usaha memupuk dan memantapkan lagi perpaduan ummah di kalangan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan latar belakang yang berbeza.

“Kita mahu melihat masyarakat kita akan terus hidup dalam suasana yang harmoni, bersatu padu, bekerjasama antara satu dengan yang lain tanpa mengira asal keturunan, pegangan agama, budaya dan latar belakang yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1441H/ 2020M di Pejabat Residen Bahagian Limbang pada Khamis.

Pada majlis itu, hanya wakil dari setiap kategori sahaja yang menerima bantuan menerusi simbolik kepada 215 orang imam dan bilal, seorang wakil untuk 76 orang anak yatim dan seorang wakil untuk 172 orang ibu tunggal dan seorang wakil untuk ahli-ahli Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL).

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan, Menteri Pembangunan Bandar Dan Sumber Asli II Sarawak mahu masyarakat Islam memiliki ilmu dan kemahiran untuk kebaikan penghidupan kita di dunia ini malah untuk di akhirat kelak.

“Kita mahu dengan ilmu dan kemahiran yang kita miliki maka kita akan dapat memastikan bersama-sama kawasan kita, masyarakat kita, keluarga kita, negeri dan negara kita akan dapat terus meningkat dari segi kesejahteraannya.

“Kita juga mahu masyarakat kita terlibat dan menjadi pencetus ‘the catalyst in term of economic development, in term of physical development and the development that we are trying to do for the good of all communities’ untuk kawasan kita, negeri kita dan negara kita.

“Jadi itu yang kita mahu dan itu yang hendak kita tekankan,” ujarnya. -Edisi UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak