KUCHING: Insiatif Kerajaan Sarawak membina dan menaik taraf Jalan Utama Kedua yang menghubungi Daerah Roban hingga Kota Samarahan bakal meningkatkan taraf hidup penduduk setempat yang sebahagian besarnya petani dan nelayan selain merancakkan lagi perkembangan sektor pelancongan sekaligus menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat.
Memetik laporan UKAS, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, pembinaan jalan raya sepanjang 112 kilometer dari Roban hingga Kota Samarahan yang dicadangkan itu menjimatkan masa perjalanan dari Sarikei ke Kuching hanya kira-kira tiga jam berbanding lima hingga enam jam ketika ini.
“Laluan ini tidak merentasi Taman Negara Meludam seperti yang dinyatakan oleh YB Johnical Rayong.
“Dengan adanya jalan ini, kita dapat juga membangunkan Taman Negara Meludam dan Taman Negara Sebuyau yang sememangnya berpotensi besar untuk dikembangkan bagi tujuan ekopelancongan atau pelancongan ekologi yang melibatkan lawatan ke tempat-tempat yang mempunyai keindahan alam semula jadi.
“Malah kawasan ini juga terkenal dengan kepelbagaian flora dan fauna termasuk orang utan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media bagi membalas kenyataan bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh dan Naib Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dr Johnical Rayong Ngipa pada Khamis.
Tambah Datu Len Talif lagi, kenyataan tersebut tidak tepat dan mengambarkan Johnical tidak memahami logistik dan geografi di kawasan berkenaan.
“Kenyataan itu tidak tepat dan seolah-olah mengambarkan bekas Menteri Kewangan Kedua dan Naib Presiden PSB itu tidak mempunyai kemahuan untuk membangunkan kawasan di luar bandar atau mungkin juga parti ini tidak berhasrat membela rakyat yang amat mendambakan pembangunan,” ujarnya.
Jalan Raya Kedua dan Pan Borneo satu-satunya pendekatan terbaik untuk membangunkan kawasan luar bandar di mana produk-produk dari kawasan tersebut dapat dipasarkan ke Kuching, Samarahan, Sarikei, Sibu, Tanjung Manis malah luar negara.
Sumber dari : TVSarawak