KUCHING: Perkara 16 Perlembagaan Negeri Sarawak (SSC) wajar dipinda supaya tidak membenarkan bukan rakyat Sarawak bertanding dalam pilihan raya negeri.
Cadangan itu disuarakan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
“Saya dengan rendah diri menggesa kepada pemimpin kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya mempertimbangkan pindaan rang undang-undang ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri seterusnya," katanya.
Kenyataan itu sebagai mengulas komen-komen di media sosial oleh warganet yang mencadangkan mana-mana warganegara Malaysia sama ada individu itu berasal dari luar Sarawak, sepatutnya dibenarkan bertanding.
Idris berkata, cadangan supaya Perkara 16 SSC dipinda bukan bermaksud takut kepada mana-mana orang luar Sarawak untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya wajar dilakukan selaras dengan trend semasa politik Sarawak.
Apa yang penting katanya, GPS perlu melindungi Sarawak dan memastikan 'virus' budaya politik yang buruk dan memudaratkan tidak menular ke Sarawak.
Beliau berkata, Perkara 16 SSC menyebut:
"Setiap warganegara berusia atau lebih 21 tahun pemastautin di Negeri ini adalah layak untuk dipilih sebagai ahli Dewan Undangan Negeri, melainkan jika dia dibatalkan kelayakan menjadi ahli oleh Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan ini atau oleh mana-mana undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 17."
Terdapat pelbagai makna 'pemastautin' yang boleh didapati dalam beberapa kamus Inggeris dan kamus perundangan, tetapi tiada masa minimum atau masa tertentu untuk tempoh tinggal atau seseorang pemastautin.
Ini kata beliau, dapat dilihat menerusi definisi 'pemastautin' di bawah Perkara 16 SSC sekarang yang agak longgar dari segi pengertian kerana ia mungkin termasuk mereka yang pernah tinggal di negeri ini walaupun dalam tempoh singkat, sama ada sebulan atau setahun.
Sumber dari : Jiwa Bakti