JANUARI 2020

Sekolah Daif: Kerajaan Pusat Mungkir Janji, Sarawak Sudah Bayar RM700 Juta
Posted by Jiwa Bakti on Tuesday, 18 February 2020


KUCHING: Kerajaan Sarawak sudahpun membayar RM700 juta kepada Kerajaan Pusat, bagi tujuan membaik pulih dan membina sekolah daif, namun sehingga kini Kerajaan Pusat belum melaksanakan projek berkenaan.

Berdasarkan perjanjian kontra antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, projek itu akan dilaksanakan sebaik sahaja RM700 dibayar oleh Kerajaan Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Pusat seolah-olah telah melanggar perjanjian yang dipersetujui sebelum ini, yang mana Kementerian Kewangan melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai agensi pelaksana.

Namun, pada tahun lalu, Kementerian Kewangan mengeluarkan arahan JKR Sarawak dilantik sebagai pengurus projek.

“Kita sudah menjelaskan pembayaran berjumlah RM700 juta pada tahun lalu dan bakinya, pada tahun ini.

“Kita jelaskan seperti yang dipersetujui dalam perjanjian namun sehingga sekarang projek itu tidak dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium Keagungan Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Kompleks Islam Negeri, hari ini.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan perkara berkenaan.

Ketika ditanya, adakah kerajaan Sarawak akan menjelaskan bayaran ketiga, Abang Johari berkata, baki bayaran berjumlah RM300 juta dijangka dijelaskan dalam tempoh tiga hingga empat bulan dari sekarang, namun Sarawak tidak akan berbuat demikian jika tidak ada perkembangan terkini (sekolah daif).

“Sudah tentu kita menangguhkan pembayaran ketiga itu sebab saya bimbang dana itu digunakan untuk tujuan lain dan yang menjadi mangsanya ialah pelajar,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti