MEI 2020

JPBN Sarawak Rangka Strategi Bagi Menghadapi Sebarang Kemungkinan Gelombang Kedua


KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak kini sedang merangka strategi dengan mencadangkan beberapa langkah bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku gelombang kedua penularan wabak COVID-19 di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ini selepas JPBN menerima laporan daripada Jawatankuasa Bertindak Pengawalan dan Pencegahan yang diketuai oleh Profesor Datu Dr. Andrew Kiyu dari Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Dalam laporan itu, beliau mencadangkan JPBN Sarawak mempelajari apa yang telah berlaku di Hokkaido dan Singapura.

“Seperti di Hokkaido, Jepun, pada 28 Januari 2020, kes pertama telah dilaporkan. Sebulan selepas itu, mereka telah mengeluarkan perintah kecemasan di mana 66 kes dilaporkan.

“Setelah ekonomi dibuka pada 16 Mac, 18 kes sehari dilaporkan. Kes ini meningkat 279 pada 14 April dan Kerajaan menguatkuasakan perintah kecemasan kedua.

“Kes di Hokkaido terus meningkat sebanyak 984 pada 15 Mei,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media COVID-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut mengambil Singapura sebagai contoh keadaan kedua apabila berlaku gelombang kedua.

“Di Singapura pula, lebih kurang 2 bulan yang lalu, Singapura telah disanjung sebagai sebuah negara yang berjaya memerangi wabak COVID-19.

“Bagaimanapun gelombang ke-2 juga berlaku di Singapura dimana kes positif telah meningkat dari 266 pada 17 Mac kepada 28,800 pada 19 Mei.

“Ini menjadikan Singapura antara negara tertinggi yang merekodkan kes COVID-19 di Asia Tenggara,” ujarnya.

Apa yang pasti JPBN hanya boleh merangka strategi dan melaksanakannya, tetapi yang lebih penting rakyat Sarawak sendiri mempunyai peranan besar dalam menentukan gelombang kedua tidak berlaku di Sarawak. -Edisi UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak