Julai 2019

Jambatan Gantung Satok Siap Penghujung Tahun Ini


KUCHING: Pembinaan Jambatan Gantung Satok sepanjang 213 meter, merentangi Sungai Sarawak yang bermula pada 19 September 2017 dijangka siap penghujung tahun ini.

Perkara ini telah dimaklumkan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Ir. Hj Zuraimi bin Hj Sabki dalam lawatannya ke tapak Pembinaan Jambatan Gantung Satok di sini, hari ini.

Rombongan turut diiringi oleh jurutera dan kontraktor pelaksana bagi meninjau perkembangan kemajuan projek serta memastikan kualiti dan standard binaan jambatan.

Jambatan pejalan kaki itu dibina era pada era pemerintahan Rajah Brooke, pernah menjadi ikon Bandaraya Kuching sebelum ianya ditutup kepada orang ramai pada tahun 1992.

Bagaimanapun, pada 7 Oktober 2004, menyaksikan Jambatan Gantung Satok yang banyak menyimpan sejarah akhirnya runtuh ke dalam Sungai Sarawak.

Jambatan Gantung Satok yang dibina pada era pemerintahan Brooke, iaitu pada 1926 menjadi laluan pejalan kaki dan kenderaan ringan seperti basikal, beca dan motosikal.

Jambatan baharu dengan lebar tiga meter itu dibina mengikut piawaian British Standard (BS) termasuk menara dan blok utama bagi menempatkan kabel penggantungan akan dibina semula oleh Kerajaan Sarawak kerana ianya wajar untuk diwujudkan semula memandangkan jambatan ikonik tersebut mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Pada 25 Oktober 2017, Ketua Menteri Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Gantung Satok.

Sumber dari: Unit Komunikasi Awam Sarawak